Bercakap pasal sejuk dan tanah tinggi, Cameron Highlands adalah salah satu pusat pelancongan yang terkenal di Malaysia. Ada apa dengan Cameron Highlands berbanding dengan pusat percutian lainnya di Malaysia?
Cameron Highlands adalah salah satu hill stations yang paling luas di Malaysia. Saiznya sebesar Singapura, seluas 712 kilometer persegi. Terletak di bahagian Barat Laut Negeri Pahang, jauhnya kira-kira 90 kilometer (56 batu) dari Ipoh, kira-kira 200 kilometer (120 batu) dari Kuala Lumpur atau kira-kira 355 kilometer (221 batu) dari Kuantan.
Cameron Highlands dibuka oleh Sir William Cameron pada tahun 1885. Ia terdiri daripada tiga daerah iaitu Ringlet, Tanah Rata dan Ulu Telom. Kemudian terdapat lapan sub-daerah iaitu Ringlet, Tanah Rata (pusat pentadbiran), Brinchang, Lembah Bertam, Kea Farm, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja. Semuanya terletak pada ketinggian antara 1100 meter ke 1600 meter di atas paras laut. Purata suhu tahunan kira-kira 18°C. Pada siang hari, suhu jarang meningkat lebih daripada 25°C. Pada waktu malam pula, ia mampu jatuh serendah 9°C khususnya di kawasan yang lebih tinggi.
Untuk Ke Cameron Highlands, anda boleh melalui Tapah, Simpang Pulai, Gua Musang atau Sungai Koyan. Tapah ke Simpang Pulai dari Perak, manakala Gua Musang dan Sungai Koyan pula dari Kelantan dan Pahang.
Selain bercuaca sejuk dan terkenal dengan ladang-ladang teh yang terbentang luas, dataran tinggi ini juga popular dengan orkid dan bunga-bungaan, ladang sayur, air terjun, sungai, hidupan liar, hutan berlumut, padang golf, hotel dan penginapan, banglo, Land Rovers klasik, muzium dan semestinya, Strawberry & Scones!
Saya secara peribadi mengkelaskan Cameron Highlands sebagai satu tempat untuk berehat, bersantai, dan bermalas-malasan secara maksima. Tempat ini juga sangat membantu bagi sessi terapi dan kesihatan, bukan saja orang muda, malah sangat sesuai untuk warga emas, kerana keadaannya yang sejuk, damai dan menenangkan fikiran.
Beberapa tempat utama yang mendapat perhatian di sini secara amnya ialah Tanah Rata, Brinchang, Kea Farm dan Kampung Tradisional Taman Sedia. Kita boleh sampai kesemua kawasan ini dalam masa 5-10 minit perjalanan sahaja. Namun pada hujung minggu dan hari cuti umum, khususnya kawasan Tanah Rata, Brinchang dan Kea Farm akan menjadi penuh sesak dengan kunjungan pelancong. Masa 5 hingga 10 minit yang di ambil untuk sampai ke kawasan-kawasan ini akan menjadi panjang akibat kesesakan lalu lintas yang padat. Satu-satunya kawasan yang boleh dikategorikan masih dalam keadaan aman dan kurang sesak, ialah Kampung Tradisional Taman Sedia.
Akan Bersambung...
Akan Bersambung...
No comments:
Post a Comment